Pages

Tuesday, June 26, 2012

SELAMAT TINGGAL MEKAH

                             10 Mei 2012 Khamis - Hari ini adalah hari terakhir kami akan meninggalkan Mekah.  Terasa masa  sungguh cepat berlalu, rasanya baru 2-3 hari kami berada Kota Mekah ini, menziarahi tempat-tempat bersejarah dan mengerjakan amal ibadat di Masjidil Haram. Terasa sayu dihati  apakah kami dapat kembali ke sini lagi untuk beribadat kepada Allah  s.w.t.  Mohon permintaan kami dimakbulkan dan kami berazam akan kembali semula dengan lebih bersedia setelah mendapat sedikit pengalaman dari umrah ini.

                                  Selepas solat subuh, kami  mengerjakan tawaf selamat tinggal (tafa wida') dan tepat jam 11.00 pagi bas rombongan kami telah bersiap sedia untuk membawa kami ke Jeddah Airport untuk meninggalkan Kota Mekah ini.  Dalam perjalanan kami singgah di Masjid Terapung Jeddah untuk makan tengahari sementara menunggu ketibaan pesawat penerbangan yang akan bertolak ke Amman Jordan pada pukul 2.00 petang.  Masjid ini terletak berhadapan dengan Laut Merah (tempat lanun Yamen sering merampas kapal-kapal laut yang melaluinya) dan rekabentuk seakan-akan mirip Masjid As-Salam Puchong Perdana.
                               Kami sampai di Airport Jeddah lebih kurang jam 1.00 tengahari, Airport ini pun seakan-akan Terminal Subang rekabentuknya dan setelah solat zohor serta asar secara jamak qasar, kami menunggu di ruang balai berlepas.  Perut mula terasa lapar kembali , isteri mencadangkan agar kami makan dahulu, sebab ibu mertua saya tidak berapa selera jika makan dalam pesawat lagipun duit Arab Saudi masih berbaki dalam SR 150.00.  Maki kami sekeluarga pun menjamulah selera tanpa sebarang was-was, dengan anggapan kos makanan lebih kurang di bawah SR 100.00 tapi bila dibuat bayaran alangkah terkejutnya kami kos makanan yang biasa di Mekah lebih kurang SR 40.00 berharga SR 120.00 di airport ini.  Satu lagi perkara yang melucukan di airport ini, bas yang membawa kami ke pesawat terpaksa berhenti di tengah-tengah landasan bagi memberi peluang pesawat untuk turun dan berlepas dan terasa beruntungnya kita berada di Malaysia yang mempunyai kemudahan KLIA yang tidak dapat mereka menandinginya


                              Pesawat kami sampai di Amman Jordan lebih kurang jam 6.00 petang dan kami seterusnya dibawa ke hotel penginapan semasa mula-mula kami sampai dahulu (28 Mei)  untuk makan malam, bersolat dan seterusnya menunggu penerbangan jam 2.00 pagi nanti untuk pulang ke tanahair Malaysia.  Di hotel ini kami terpaksa berkongsi kemudahan makan, solat dan menunggu dengan rombongan umrah dari kumpulan syarikat yang lain.  Akibatnya surau menjadi penuh dan menyukarkan terutama kaun wanita untuk bersolat.  Setelah bertegang urat akhirnya kami dibenarkan naik ke tingkat 2 untuk bersolat yang tidak mempunyai ruang untuk berwuduk dan terpaksa turun di lobi untuk mengambilnya. Ketua rombongan mengambil keputusan untuk keluar awal melihat keadaan ini dan tepat jam 11.00 kami keluar dari hotel ini untuk menuju ke lapangan terbang dan seterunya menaiki pesawat.  Setelah 11 jam dalam penerbangan akhirnya kami selamat sampai ke KLIA tepat jam 7.15 malam dan berakhirlah Kembara, Ziarah serta Umrah kami selama 14 hari itu dengan selamatnya.

                               Urusan bagasi dan pemeriksaan kastam di Malaysia berjalan lancar terutama melihat jemaah yang balik dari umrah seakan pihak Kastam mempermudahkannya.   Tibalah saat yang paling hiba, kami semua terpisah jua akhirnya setelah 14 hari susah senang bersama dalam perjalanan umrah ini.  Tiada kata yang dapat diucapkan kecuali terima kasih kepada semua yang sama-sama membantu terutama Ustaz Nasir, Ketua Rombongan Umrah ini.  Insyallaah kami semua berjanji akan membuat reunion peserta-peserta umrah ini di masa akan datang.