Pages

Wednesday, May 23, 2012

ZIARAH KOTA MADINAH 29 APR - 02 MEI 2012



Penerbangan dari Airport Amman Jordan ke Madinah mengambil masa 2 jam.  Pesawat kami bertolak jam 2.45 pagi, akibat keletihan berjalan-jalan di Jordan, kami semua tidur di dalam pesawat  dan sewaktu pesawat menghampiri Bandar Madinah kelihatan Masjid Nabawi terang benderang di waktu pagi subuh dan saya berasa takjub melihat salah satu keagungan Allah s.w.t.

Jam 4.450 pagi,  pesawat Royal Jordan yang membawa  kami selamat sampai ke Madinah. Sebelum pemeriksaan kastam kami bersolat subuh dahulu berhampiran tempat pemeriksaan tersebut dan ianya menimbulkan kurang senang kepada pihak Imigiresen Arab Saudi.  Mereka mengarahkan kami agar cepat membuat pemeriksaan daftar kerana terdapat 2-3 lagi pesawat yang akan mendarat sebentar lagi dan takut ianya berlaku pertembungan dengan jemaah umrah yang lain. 



Selepas pemeriksaan bagasi, beg-beg kami diletakkan diluar dan kami terpaksa melarikan beg tersebut terus ke bas yang telah siap menunggu,  ini adalah kerana jika  para petugas membawa beg tersebut ianya  mereka akan meminta bayarannya.  Di dalam perjalanan mutawif yang menyambut dan bertugas untuk kami  Ustaz Abdul Rahman (Pelajar Indonesia) menceritakan sejarah dan asal-usul Madinah dengan  penuh keinsafan bila mendengarnya.

 (AIRPORT MADINAH)

Setelah setengah jam perjalanan menaiki bas dari Aiport Madinah akhirnya kami semua sampai di hotel penginapan iaitu di Mubarak Silver Hotel yang berhadapan dengan Masjid Nabawi (dipisahkan satu blok bangunan).  Setelah bersarapan pagi tepat jam 9.00 pagi  kami semua di bawa melawati Masjid Nabawi di mana jemaah lelaki dan wanita dibawa secara berasingan.  Saya kebetulan turun lewat sedikit telah ditinggalkan oleh jemaah tersebut. Akhirnya saya terpaksa mencari jalan sendiri untuk sampai ke Masjid Nabawi  dan terjumpa juga rombongan tersebut yang sedang dalam perjalanan  dan Ustaz Abdul Rahman menceritkan serba sedikit Masjid Nabawi ini dan apa yang patut kami lakukan di dalamnya serta dimana tempat yang bermanafaat untuk kami bersolat serta berzikir sepanjang 4 hari berada di sini












Masjid Nabawi (Masjid Madinah)  merupakan salah satu Masjid yang dimuliakan oleh Allah s.w.t.  Solat di dalamnya mendapat ganjaran 100,000 kali.  Saya sempat solat dan berdoa di Raudah walaupun ianya penuh sesak dengan pelbagai ragam manusia yang tidak memberi peluang kepada orang lain untuk beribadah sama.   Saya perhatikan golongan berbangsa Arab duduk di dalam Masjid Nabawi ( di Raudah dan saf pertama Masjid ) dari pagi hingga ke malam, tanpa memperdulikan orang lain dan tiada peluang langsung kita untuk mencelah masuk untuk turut menjalankan ibadah.

 
Seterusnya saya ke Makam Nabi Muhammad s.a.w, mengucapkan salam kepadanya seterusnya menyampaikan salam dari keluarga dan sahabat yang telah mengirimnya dari Malaysia. Allhamdulilah saya dapat melakukan tanpa di halang oleh askar Arab yang menjaganya (apabila sampai dipintu keluar Masjid saya berpatah balik dan tidak keluar ) tapi pada pusingan kali ke 3, baju saya telah ditarik oleh askar tersebut dan mengarahkan saya keluar, mungkin beliau telah lama memerhatikan saya yang keluar masuk ke Makam Nabi untuk mengucapkan salam dan berdoa di situ, maka saya redhakan perbuatannya bagi memberi peluang kepada orang lain untuk beribadah sama.







Selama 4 hari di Madinah (29 April - 2 Mei 2012), saya mengambil kesempatan bersolat, berzikir dan berdoa di semua tempat dalam kawasan Masjid Nabawi termasuk di kawasan luar Masjid bersama para jemaah dari bangsa Sri Lanka, India dan Pakistan (yang tidak menginap di hotel) bagi merasai keperitan  mereka untuk turut sama beribadah di sini.  Waktu Maghrib dan Isyak yang terlalu hampir membuatkan saya jarang balik ke hotel pada waktu tersebut dan banyak digunakan untuk beribadat dan menghayati keindahan masjid.




Selepas solat Maghrib banyak kelas dan ceramah agama mengikut bangsa dan negara diadakan disekitar dalam kawasan Masjid.   Saya tertarik pengajian anak-anak bangsa Mekah belajar mengaji Al-Quran yang menggunakan pendekatan teknologi (LCD Screen) dalam mempelajari Al-Quran.  Kehilangan selipar sudah menjadi lumrah walaupun diletak ditempat rak , tapi saya mengambil pendekatan selamat dengan meletakkan di celah-celah pintu masuk masjid dan air zam-zam dan roti yang di bawa menjadi penghilang dahaga serta bekalan alas perut sementara menunggu waktu Isyak sebelum pulang ke hotel untuk makan malam.











No comments: